Khamis, 1 Oktober 2015

Sejarah Bangunan Sultan Abdul Samad





Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan diantara bangunan lama yang terdapat di Kuala Lumpur dan merupakan bangunan warisan yang masih dilindungi keaslian rekabentuknya. Bangunan ini dibina pada tahun 1893. Tetapi perletakan batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu. Bangunan ini siap dibina dan digunakan pada tahun 1897. Nama bangunan ini diambil sempena nama Sultan Selangor yang memerintah pada ketika itu, iaitu dalam tahun 1896. Bangunan itu merupakan mercu tanda Kuala Lumpur yang gagah pada masa itu.

Bangunan tersebut terletak pada satu tapak diantara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan terkenal kerana merupakan satu tapak yang strategik, iaitu ditengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Keluasan kawasan tersebut adalah 10,200 meter persegi. Di bahagian belakangnya terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah Persekutuan. Kedudukan bangunan dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek yang kesemuanya terletak berhampiran Sungai Gombak. Sebelum merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan sebuah Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen- General, Pejabat Besar Pos dan selepas kemerdekaan pula, ia dijadikan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan. Bangunan Sultan Abdul Samad ini juga menempatkan Mahkamah Agung Malaysia dan sebahagian daripada Mahkamah-mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1978.

Pelan bangunan ini telah direkabentuk oleh arkitek dari British bernama A.C. Norman (yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga berasal dari British, iaitu C.E. Spooner. Bangunan Sultan Abdul Samad ini sangat unik seni binanya dan merupakan diantara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua tingkat setinggi 57 kaki yang berbentuk ladam dan di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik. Terdapat juga tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked.Bangunan ini juga mempunyai satu serambi besar tertutup yang merupakan suatu elemen penting dalam rekabentuk bangunan ini.

Bangunan Sultan Abdul Samad yang berbentuk ‘saracenic’ merupakan satu ciri senibina Moorish dan Moghul yang berunsurkan Islam. 3 buah kubah yang menghiasi bangunan ini membuktikanya. Pada peringkat awal ia diperbuat daripada kayu dan batu bata yang dicat warna hitam, namun ianya telah digantikan dengan kubah yang bersalut tembaga. Sebanyak RM 152,000 telah dilaburkan untuk membina bangunan ini dan merupakan bangunan yang termahal di rantau ini pada ketika ianya didirikan.

Pada sekitar tahun 1978, pengubahsuaian bangunan telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja sebanyak RM 17.2 juta. Pada ketika itu kerajaan Australia telah menyumbang sebanyak RM 200,000 sebagai kos menyadur tembaga bagi ketiga-tiga kubah yang terdapat pada bangunan tersebut pada tahun 1982. Pengubahsuaian dilakukan hanya pada bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984

Tiada ulasan:

Catat Ulasan